Wednesday, October 20, 2010

si saloi

Menurut cerita mulut orang tua-tua di Pulau Borneo, iaitu di pulau yang mengandungi negeri Sarawak, Sabah dan Brunei Darussalam serta Kalimantan di sebelah republik Indonesia bahawa pada zaman dahulu ada seorang pemuda bernama Saloi. Saloi ini seorang pemuda yang lurus jujur dan pintar. Dalam pada itu ada masanya dia juga seorang yang bebal dan dungu sehingga perbuatan dan perangainya selalu menyebabkan orang ketawa. Disebabkan sifat dan perangainya yang begitu seringkali dia dipermain-mainkan oleh kanak-kanak.

Adapun Si Saloi ini tinggal seorang diri sahaja, kerana ibu bapanya sudah lama meninggal dunia. Hiduplah Si Saloi dengan bekerja membanting tulang bertanam padi, menanam sayur-sayuran, mengail ikan serta memelihara ayam dan itik. Si Saloi juga merupakan seorang yang rajin bekerja terutama kalau ada orang yang memberinya upah. Ada masanya kalau orang perempuan yang meminta tolong Si Saloi tidak meminta upah, memadai dengan memberinya sedikit makanan sahaja. Disebabkan dia tiada beribu bapa maka orang-orang yang berdekatan selalu juga mengambil berat akan dirinya, lebih-lebih lagi Datuk Penghulu Kampung tempat dia tinggal.

Pada suatu hari Datuk Penghulu Kampung telah memanggil Si Saloi serta beberapa orang tua-tua di kampung itu. Datuk Penghulu ingin menjodohkan Si Saloi dengan seorang gadis yang juga mempunyai perangai lebih kurang dengannya. Nama perempuan itu Cik Putih. Setelah mendengar nasihat dan pandangan daripada orang tua-tua itu akhirnya Si Saloi menerima sahaja cadangan itu. Maka Datuk Penghulu sendiri bertindak bagi pihak keluarga Si Saloi. Dipendekkan cerita maka Si Saloi pun dikahwinkan dengan Cik Putih. Majlis perkahwinan itu amat meriah kerana masyarakat kampung itu sangat rapat hubunganya antara satu dengan yang lain serta selalu bertolong-tolongan.

Majlis perkahwinan Si Saloi dengan isterinya diraikan siang dan malam, diraikan oleh seluruh penduduk kampung. Banyaklah binatang ternakan disembelih buat lauk serta bergantang-gantang beras dimasak. Setiap orang dijamu dengan makanan siang dan malam. Pada sebelah malamnya pula diadakan berbagai majlis, seperti bertandak atau ronggeng, permainan mukun, adai-adai dan sebagainya. Sambil menonton permainan, orang ramai dijamu lagi dengan makanan dan minuman.

Setelah jauh malam barulah kampung itu sunyi kerana setiap orang sudah kembali ke rumah masing-masing untuk tidur, setelah penat dan kekenyangan. Yang tinggal cuma seorang berdua sahaja termasuk Datuk Penghulu dan Si Saloi sendiri. Tidak lama kemudian Datuk Penghulu dan orang yang tinggal itu pun balik ke rumahnya. Melihatkan keadaan yang demikian maka Si Saloi pun berkira-kira untuk masuk tidur. Ketika itu isteri Si Saloi, Cik Putih telah lama tidur seorang diri di biliknya.

Si Saloi pun terus masuk tidur setelah terlalu penat dan kekenyangan. Dilihatnya isterinya sedang nyenyak tidur maka Si Saloi pun merebahkan diri di sebelah isterinya lalu terlena sebentar itu juga. Menurut adat orang-orang kampung itu apabila seseorang itu telah berkahwin maka panggilannya ditukar kepada "Pak" atau "Bapak". Jadi, Si Saloi kini ditukar namanya menjadi Pak Saloi dan isterinya dipanggil Mak Saloi.

Sebentar kemudian Pak Saloi terjaga daripada tidurnya disebabkan perutnya berasa amat sakit, memulas-mulas sahaja perutnya disebabkan terlalu banyak makan dan minum. Pak Saloi lalu bangun sambil menekan-nekan dan mengurut-urut perutnya. Namun perutnya tidak juga beransur pulih, sebaliknya terus bertambah sakit. Berpeluh-peluh badan Pak Saloi menahan sakitnya, sambil dia mengerang perlahan-lahan kerana dia tidak mahu mengganggu isterinya yang sedang nyenyak tidur itu. Dia pun bangun dan cuba mencari minyak angin atau ubat tetapi tidak berjumpa. Ini disebabkan dia berada di rumah isterinya, bukan rumahnya sendiri. Mengikut adat mereka orang lelaki yang berkahwin untuk masa beberapa hari mereka mestilah tinggal di rumah isterinya dahulu.

Pak Saloi berasa amat serba salah kerana ketika itu perutnya sudah terlampau sakit. Dia tahu isi perutnya yang penuh itu perlu dikeluarkan untuk meredakan sakitnya, kalau tidak ia akan terus menyenak sahaja. Pak Saloi takut untuk turun ke tanah membuang air besar kerana hari sudah larut malam tambahan pula ketika itu kedengaran bunyi burung hantu tidak berapa jauh dari rumahnya itu. Sungguhpun begitu dia tidak boleh menahan sakit perutnya lebih lama lagi, dia mesti membuang air besar secepat-cepatnya.

Setelah puas berfikir dan menahan sakit perutnya, Pak Saloi pun berdiri lalu berjalan menuju ke pintu. Dia membuka pintu dan dilihatnya bulan sedang mengambang dan cahayanya menerangi seluruh kawasan itu. Dia berdiri sebentar di muka pintu tetapi isi perutnya sudah tidak sabar-sabar lagi hendak keluar. Pak Saloi akhirnya mengambil keputusan untuk melepas dari atas tangga rumahnya sahaja tambahan pula tangga itu cukup tinggi dari tanah. Tanpa membuang masa lagi dia pun mengangkat kainnya dan bertenggek di atas anak tangga sambil tangannya berpegang pada birai tangga itu. Dia pun melepaskan hajat sepuas-puasnya. " Biar keluar semuanya, baru senang hati aku," bisik hati Pak Saloi sambil terus meneran-neran.

Pak Saloi merasa lega setelah benda-benda yang menyebabkan perutnya sakit tadi dilepaskan ke tanah dari atas tangga. Dia tidak dapat berfikir lagi bahawa perbuatannya itu tidak sepatutnya dilakukan di rumah isterinya, kalau diketahui orang tentu dia mendapat malu besar. Oleh sebab cahaya bulan masih terang dia pun memandang ke bawah ke arah najisnya jatuh tadi. Dilihatnya najis itu bergerak-gerak dan beredar perlahan-lahan pergi dari situ. Dia tidak sedar bahawa ketika najisnya jatuh kebetulan seekor kura-kura yang besar sedang berlalu di situ. Kebetulan juga najisnya itu jatuh betul-betul di atas belakang binatang itu.

Pak Saloi sangat hairan dan takjub melihat kejadian itu dan dalam hatinya berasa sangat gembira dan senang. Dia memikirkan bahawa najisnya itu boleh bergerak dengan sendirinya dan beredar dari situ. Setelah melihat keadaan itu maka dengan senang hatinya Pak Saloi pun kembali ke tempat tidurnya dan meneruskan tidurnya yang terganggu tadi. Setelah hari siang Pak Saloi pun bangun dan hatinya tetap berasa gembira. Namun begitu dia tidak menceritakan kejadian itu kepada siapa-siapa walaupun kepada isterinya, Mak Saloi.

Pada malam berikutnya Pak Saloi terjaga lagi daripada tidurnya kerana perutnya sakit seperti semalam. "ah perut aku ini dah mula sakit, tak tahukah ia bukankah hari ini sudah malam?" bisik Pak Saloi dalam hatinya. dia sakit perut kali ini kerana terlalu banyak makan emping bersama gula apung. Mula-mulanya Pak Saloi berasa amat malas untuk bangun dan beredar dari situ kerana matanya masih mengantuk. Oleh sebab perutnya semakin lama semakin sakit maka tahulah dia bahawa isi perutnya itu mesti dikeluarkan juga. Dia pun bangun dan berjalan perlahan-lahan menuju ke tangga seperti semalam. Dia tidak mahu membuat bising kerana tidak mahu menganggu Mak Saloi. Dengan cepat dia pun mengankat kainnya dan mencangkung di atas tangga, di tempat yang sama seperti semalamnya. Pak Saloi sekali lagi terperanjat kerana didapatinya najisnya boleh bergerak dan beredar dari situ. Peristiwa yang sama dengan semalam berulang semula. Pak Saloi akhirnya membuat kesimpulan bahawa kejadian itu bukanlah suatu keanehan tetapi suatu keistimewaan bagi dirinya kerana dia selalu bersifat jujur. Sebenarnya pada malam itu kura-kura yang sama kebetulan berlalu di situ, agaknya binatang itu keluar mencari makanan atau balik ke tempat diamnya. Selepas melepaskan hajatnya Pak Saloi pun kembali tidur di sebelah isterinya dengan perasaan yang sungguh riang dan gembira. Peristiwa itu juga dirahsiakan oleh Pak Saloi dan tidak pernah diceritakan kepada sesiapa juga.


Pada malam yang ketiga perkara yang sama berlaku lagi. Kali ini perutnya sakit lagi denga tak tentu fasal. Dia pun tidak pasti sama ada terlalu kenyang atau tersalah makan... Pak Saloi segera bangun dan mengurut-urut perutnya dan dia segera hendak pergi ke tangga seperti malam-malam sebelumnya. Pada ketika itu terlintas dalam fikirannya akan kejadian dua malam yang lalu. Pak Saloi berfikir sejenak dan berkata dalam hatinya, "Ah kali ini buat apa bersusah-susah pergi ketangga, lebih baik aku buang air besar di sini sahaja kerana najis aku boleh pergi sendiri dari sini."

Setelah berfikir-fikir Pak Saloi pun mengangkat kainnya lalu melepaskan najisnya di sebelah tempat tidurnya sahaja. Dalam hatinya berkata, " Nah, kali ini barulah aku berasa senang, aku tak payah lagi bersusah payah turun ke tangga atau ke tanah. Sebentar lagi tentu najis itu pergi."

Sebelum dia kembali menyambung tidurnya Pak Saloi menunggu najisnya beredar dari situ. Akan tetapi setelah lama menunggu didapatinya najis itu tetap juga berada di situ, tidak bergerak walau sedikit pun. Pak Saloi pun menghampiri najisnya dan berkata perlahan-lahan kerana dia takut isterinya nanti terbangun. "Huuusy, huuusy, huuuusy... Pergilah cepat dari sini, pergi masuk ke dalam hutan sana, apalagi yang kau tunggu."Namun najis itu tetap juga berada di situ. Pak Saloi terus memujuk najisnya beberapa kali namun tiada apa-apa pun yang berlaku. Pak Saloi mulai risau dan gelisah sebab tidak lama lagi hari akan siang dan tentu Mak Saloi bangun. Jika dilihat oleh isterinya tak tahulah dia apa yang akan berlaku.

Setelah lama memujuk najisnya tetapi tidak juga benda itu bergerak maka timbul pula akal Pak Saloi untuk memujuk najisnya dengan cara lain pula. Lalu dia pun segera bangun dan pergi ke dapur untuk mengambil emping padi satu bakul. Maka ditaburkannya emping padi itu ke ke atas najisnya sambil berkata perlahan-lahan, "Nah... aku beri engkau sedikit upah, sekarang apalagi yang ditunggu, lekaslah pergi...Huuusy,huuuusy...Apalagi yang engkau nak tunggu hah?" Namun najis itu tetap juga di situ.

Pak Saloi tidak putus perhitungan, ditambahnya lagi emping itu sambil berkata, "Hai, apalagi yang engkau mahu, hah? Pergilah cepat...Biar aku tambah lagi upahnya... Berapa lagi yang engkau mahu, cakaplah?" Apabila dilihatnya najis itu tetap juga di situ, tidak bergerak-gerak Pak Saloi lalu mencurahkan semua emping yang di dalam bakul ituke atas najisnya sambil tangannya menguis-nguis ke udara mengarahkan najis itu supaya segera pergi dari situ, tetapi sia-sia sahaja.

Pak Saloi semakin risau dan berlegar-legar di situ sambil memujuk najisnya. Dia masih lagi merayu dan memujuk agar najisnya segera keluar dari tempat tidur itu. Dalam keadaan yang demikian, Mak Saloi pun terjaga. Dia menyangka Pak Saloi sedang mengigau dan sedang bercakap dalam tidurnya, lalu dia pun membuka matanya. Dilihatnya Pak Saloi sedang sibuk merayu najisnya keluar dari situ, Mak Saloi pun meraba badan suaminya sambil berkata, "Apa yang abang cakapkan sorang-sorang ni? Tidurlah... Kan hari masih malam, jangan mengigau lagi. Itulah abang... Nak masuk tidur tak mahu basuh kaki dahulu."

Pak Saloi mendiamkan diri sahaja, berpura-pura tidur. Mak Saloi berkata lagi, kali ini agak kasar sedikit kerana matanya mengantuk dan suaminya membuat bising, menganggunya," Sudahlah... Tidurlah tu... Jangan nak memekak sahaja malam-malam buta ni."

Pak Saloi terus sahaj mendiamkan diri apabila ditegur oleh isterinya. Dia berpura-pura tidur dan berdengkur sedikit-sedikit, tujuannya supaya Mak Saloi kembali tidur agar dia dapat meneruskan kerjanya mengusir najisnya keluar dari bilik itu. Oleh sebab Pak Saloi terlalu mengantuk dan hampir semalam-malaman itu dia tidak dapat tidur, Pak Saloi pun terus terlena hingga ke siang.

Apabila hari sudah siang Mak Saloi pun bangun daripada tidurnya. Dilihatnya Pak Saloi masih tidur dan berdengkur lalu dibiarkannya sahaja. Pada fikirannya suaminya tentu masih mengantuk kerana diganggu oleh igaunya semalaman itu. Setelah bangun Mak Saloi sangat terperanjat kerana dilihatnya emping bertaburan di sisi suaminya. Dia menyangka tentulah emping itu tertumpah dilanggar kucing kerana bakul emping itu tidak jauh dari situ. Mak Saloi mengambil bakul itu lalu dikutipnya emping yang bertaburan di atas lantai sambil berkata "Kuuurrr semangat emping... Mengapakah kau bertaburan begini?"

Semasa Mak Saloi mengutip emping dan memasukkannya ke dalam bakul dia tercium bau busuk. Dia menyangka bau itu adalah bau emping yang sudah 'buruk', yakni busuk dan rosak disebabkan sudah terlalu lama disimpan. Kalau sudah busuk buat apa disimpan lagi, sudah tidak boleh dimakan. Mak Saloi pun terus membuangkan semua emping yang dikutipnya itu ke tanah dan terus dimakan oleh ayam. Memikirkan semua empingnya sudah busuk, Mak Saloi pun terus ke dapur dan mengambil semua emping yang tersimpan di dalam upih dan sumpit laludibuangkan ke tanah. Berebut-rebutlah ayamnya mekan emping itu.

Apabila matahari sudah sepenggalah tingginya barulah Pak Saloi terbangun. Ketika itu Mak Saloi sudah tidak ada lagi di rumah, dia sudah berada di kebun menanam sayur-sayuran dan membersihkan kebunnya itu. Pak Saloi memerhatikan najisnya semalam, didapatinyanajis itu sudah tiada lagi. Dia pun berfikir dalam hatinya, "Oh, rupa-rupanya pergi juga engkau setelah puas aku pujuk,ya. Rupanya engkau hendakkan upah dulu baru kau mahu pergi."

Pak Saloi menjenguk ke luar tingkap didapatinya hari sudah siang benar, matahari sudah tinggi dan orang-orang kampung sudah pergi ke kebun masing-masing. Pak Saloi pun memanggil isterinya beberapa kali tetapi tidak ada jawapan. Pak Saloi masih terasa mengantuk dan letih dan ingin sahaja terus menyambung tidurnya tetapi perutnya sudah mulai berasa lapar. Maka Pak Saloi pun bergegas pergi kedapur untuk mencari sarapan tetapisemuanya sudah tidak ada. Dicarinya emping yang masih tersimpan di dalam upih dan sumpit rotan di rak pun semuanya sudah tidak ada. Upih dan bakul serta sumpit rotan itu semuanya kosong belaka. Pak Saloi berasa sungguh hampa dan perutnya juga sungguh lapar. Pak Saloi pun mengeluh kehampaan, "Hai... sampai hati engkau najis... Engkau habiskan semua emping aku... Tak kasihan sedikit pun rupanya engkau pada aku, ya...? Begitu lama kau duduk dalam perut aku bila keluar begitu balasan engkau pada aku..."

Pak saloi pun duduk di tangga rumahnya sambil termenung dan berfikir, fikirannya tidak lain untuk mendapatkan sarapan sahaja kerana perutnya sudah berkeroncong. Mahu tidak mahu Pak Saloi terpaksa juga duduk di situ menunggu isterinya pulang untuk memasak makanan tengah hari.



nota: aku baca buku ni masa sekolah rendah sebenarnya tebal juga buku hikayat si saloi ni.... ntah siapa ada simpan buku tu lawak gila aku nak fotokopi.... hehehe


cerita ni aku curi dari sini : http://theyous2010.blogspot.com
dengar cerita filem nya pun ada : http://www.malaysianmirror.com/media-buzz-detail/12-sabahsarawak/38550-first-iban-film-saloi-the-movie-

4 comments:

Unknown said...

Lol..ingatkan Ada lagi sambungannya..dulu cerita ni bukunya tebal warna coklat,masa aku sekolah rendah.Ermm..rindunya nak baca cerita ni..lepas ni pak saloi dapat anak,nama si aloi.,pak saloi berdagang dan bnyk lgi..

Unknown said...

Lol..ingatkan Ada lagi sambungannya..dulu cerita ni bukunya tebal warna coklat,masa aku sekolah rendah.Ermm..rindunya nak baca cerita ni..lepas ni pak saloi dapat anak,nama si aloi.,pak saloi berdagang dan bnyk lgi..

Unknown said...

igt lagi kisah pak saloi ni..dia berak kt atas tanah(sebenarnya berak atas kura)pak saloi pelik najis dia boleh bergerak sendiri,,last2 berak atas rumah sbb igt najis tu akan bergerak..akhirnya kne marah dengan mak saloi

Unknown said...

you know mcm mna jalan ceritanya dengan rusa (lagu malang pak saloi),hmm aku kn mau tau ceritanya psl tak pernah dengar and baca pun..